Tuan Guru Syekh Buya Shamsudin Bin Haji Ismail At-Thobibi Al-Mujarrobi

Di dalam bidang persilatan saya dikenali sebagai Datok Mahaguru Toh Bentara Sri Alam Mahaguru Shamsudin B Hj Ismail.

Bermula menceburi bidang persilatan dan kebatinan pada usia seawal 12 tahun . Pada usia 14 tahun telah dilantik sebagai Jurulatih Kanan dan mengajar beberapa gelanggang silat . Pada usia 33 tahun telah dilantik sebagai Datok Mahaguru menggantikan mantan Mahaguru yang telah meninggal. Saya membawa 2 aliran dalam persilatan iaitu Seni Silat Pencak Gayong Kifalah Malaysia dan Silek Balam Harimau Lalok.

Manakala dalam bidang perubatan telah menceburkan diri dalam usia 15 tahun . Minat dalam bidang perubatan timbul apabila selalu melihat datuk – datuk dan nenek melakukan rawatan tradisional kepada orang kampung. Hadir satu perasaan seronok dan puas melihat pesakit yang sembuh daripada kesakitan. Oleh itu kini saya telah mengumpulkan beberapa orang perawat dibawah pimpinan saya didalam Pertubuhan Pengamal Perubatan Warisan Tradisional Malaysia dengan harapan dapat memberi sumbangan dan bantuan kepada semua lapisan masyarakat. Saya juga berusaha berkongsi ilmu dalam bidang perubatan dengan masyarakat melalui penulisan-penulisan saya berbentuk buku-buku ilmiah.

Selain itu saya juga menubuhkan Pondok Darul Kifalah di Meru, Klang untuk menyampaikan ilmu-ilmu warisan Bangsa Melayu dan mendidik anak-anak bangsa kembali kepada asal usul.

Tujuan saya menubuhkan kumpulan perawat ini adalah untuk bergabung bagi melestarikan ilmu Perubatan Tradisional Melayu. Pada masa kini masyarakat sangat fobia dengan Perubatan Melayu. Tidak dinafikan ramai perawat ( bomoh, dukun, Pawang, tabib – aliran hitam dan sesat) yang mengambil kesempatan mencabul, merogol dan menipu masyarakat.

Oleh yang demikian saya berusaha membersihkan nama Perubatan Tradisional Melayu dengan membawa kumpulan perawat yang betul-betul belajar ilmu secara bernasab dan berjemaah. Memantau dan memastikan perawat tidak menyimpang dari tujuan asal untuk membantu masyarakat.

Segala ilmu yang saya pelajari dari perawat kampung dan guru-guru tua saya kongsi kan bersama. Dengan harapan ilmu Perubatan Melayu tidak akan hilang atau pupus ditelan zaman.
Setiap bangsa ada budaya dan amalan tradisi. Begitu juga Bangsa Melayu, jika tiada persefahaman dan kesepakatan untuk memelihara perubatan tradisi ini, maka bangsa Melayu akan rugi di kemudian hari.

Semoga ramai lagi ahli masyarakat berminat untuk belajar, mewarisi dan mengembangkan pusaka bangsa ini.
Walaupun perjuangan ini tidak semudah yang dibicarakan, memerlukan pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga. Tetapi amanat yang telah diberikan oleh Guru-guru Tua semasa menuntut ilmu, mesti diteruskan.

Saya juga berkongsi ilmu Perubatan Melayu melalui penulisan buku dan kitab. Tujuan supaya masyarakat dapat membaca dengan menyimpan maklumat tersebut untuk generasi akan datang. Supaya masyarakat dapat mengamalkan segala ilmu yang diberikan melalui ijazah umum bernasab dari guru sebelumnya.
Sesungguhnya apabila mati anak Adam ( Nabi Adam a.s), hanya 3 perkara sahaja yang dapat membantunya di alam barzakh dan akhirat nanti. Salah satunya adalah ilmu yang bermunafaat kepada orang lain. Insya Allah Ta’ala. Aamiin Ya Allah Ya Robbul Aamiin.

Harapan saya semoga usaha saya dan jemaah dipermudahkam oleh Allah Taala dan sama- sama kita semua mendapat rahmat dari Allah Taala .

Akhir kata marilah bersama-sama dengan kami berjemaah.

Maklumat Lanjut

Sila tekan butang di bawah